Faktor-faktor pembentukan Malaysia Proses_Pembentukan_Persekutuan_Malaysia_1963

Mengelakkan ancaman dan pengaruh komunis

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bimbang akan pengaruh komunis yang semakin bertapak dan juga berkembang di Asia Tenggara. Pengaruh komunis dapat dilihat mula meresap masuk ke dalam fahaman parti yang memerintah Singapura sejak tahun 1959, iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) di bawah pimpinan Lee Kuan Yew. Aktiviti dan fahaman komunis juga kelihatan semakin bertapak dengan kuat apabila bekas anggota PAP berhaluan kiri menubuhkan Barisan Sosialis yang dipimpin oleh Lim Chin Siong.

Hal ini disokong apabila kawasan Hong Lim dan Anson di Singapura menunjukkan peningkatan fahaman komunis yang aktif dan semakin merebak pada tahun 1961. Pihak Tunku Abdul Rahman Al-Haj khuatir akan perkembangan fahaman komunis bilamana pada satu tahap, ia akan menguasai pentadbiran Singapura dan boleh mengancam keselamatan Tanah Melayu kerana kedudukan geografi kedua-dua negara ini yang berdekatan. Oleh itu, beliau berpendapat penubuhan negara Malaysia akan menjadi rintangan perkembangan fahaman komunis daripada semakin merebak di Singapura.

Memberi kemerdekaan kepada Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura

Tubuhnya Persekutuan Malaysia dapat memberikan negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura kemerdekaan yang lebih awal daripada yang dijangkakan daripada jajahan British. Hal ini disebabkan negara-negara tersebut masih lagi di bawah jajahan pihak British semasa cadangan ini ditimbulkan dan diketengahkan oleh pihak Tunku Abdul Rahman Al-Haj. Dalam hal ini, Sabah dan Sarawak diletakkan dalam status negeri jajahan, manakala Singapura dan Brunei diletakkan sebagai negeri naungan.

Dalam perancangan merealisasikan Persekutuan Malaysia, Persekutuan Malaysia dijangka akan ditubuhkan dalam tempoh dua tahun. Namun, sekiranya Sabah dan Sarawak berusaha untuk mencapai kemerdekaan secara berasingan, dijangkakan kemungkinan yang besar bahawa kemerdekaan itu tidak akan digapai biarpun dalam tempoh lima tahun ataupun sebaliknya oleh mereka. Oleh itu, dengan penyertaan menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, ia akan memberi peluang kepada Sabah dan Sarawak untuk mencapai kemerdekaan dengan kadar yang lebih cepat.

Sememangnya dalam jangka tahun 1960-an, kerajaan British mempertimbang untuk memberi kemerdekaan kepada tanah-tanah jajahannya. Tetapi British mengganggap kemerdekaan masih belum boleh diberikan kepada Sabah dan Sarawak disebabkan keadaan politik dan pergerakan ekonomi Sabah dan Sarawak yang masih belum memuaskan. Tunku Abdul Rahman berpendapat bahawa kerajaan British bercadang untuk tidak memberikan kemerdekaan kepada Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat termasuklah dalam tempoh lima tahun lagi.

Pendapat ini juga dipertimbangkan secara serius oleh pihak British bahawa sekiranya Sabah dan Sarawak tidak diberi kemerdekaan, maka cengkaman fahaman komunis akan semakin kuat di kedua-dua wilayah tersebut. Hal juga akan menyebabkan pihak British kehilangan kedudukannya dari segi kepentingan ekonomi dan juga pengaruh sosial pada masa akan datang. Selain itu, hal ini juga disokong apabila kuasa-kuasa luar seperti Filipina dan juga Indonesia turut menunjukkan minat terhadap sumber yang berada di wilayah Sabah, Sarawak dan Brunei.

Perkongsian faedah ekonomi

Persekutuan Malaysia membolehkan wilayah-wilayah anggotanya berada dalam posisi di mana mereka harus mengadakan kerjasama ekonomi dan perdagangan untuk mendapat keuntungan bersama. Selain itu, wilayah-wilayah anggota yang kaya dengan sumber ekonomi boleh membantu negara-negara anggota yang miskin dan kekurangan sumber ekonomi sekaligus ia dapat meningkatkan pembangunan ekonomi, terutama di Sabah dan Sarawak yang masih belum maju dari segi ekonominya. Manakala Tanah Melayu, Singapura dan Brunei pula akan menjadi tunjang utama pembangunan ekonomi negara-negara berkenaan. Hal ini kerana Tanah Melayu penuh dengan hasil sumber bahan mentah dan Brunei pula kaya dengan sumber minyaknya. Pada masa yang sama, keselamatan Singapura pula akan lebih terjamin iaitu dari segi ekonomi.

Pembelaan hak masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak

Keadaan Sabah dan Sarawak sebelum penyertaan ke dalam Malaysia ialah penduduk di wilayah ini tidak mempunyai tawaran hak yang sama penduduk di Semenanjung Tanah Melayu, terutama golongan Bumiputera. Kebanyakan jawatan dan kegiatan ekonomi di wilayah-wilayah tersebut dikawal dan dijawat oleh warga asing. Selain itu, majoriti penduduk asal hanya terlibat dalam sektor domestik seperti pertanian dan penggunaan tanah untuk sistem penanaman tetap. Sekiranya kedua-dua wilayah ini menyertai ke dalam Persekutuan Malaysia, kebarangkalian penduduk Bumiputera Sabah dan Sarawak untuk mendapat layanan istimewa adalah lebih tinggi.

Struktur perhubungan di kedua-dua wilayah ini yang daif yang mana infrastrukturnya masih bergantung pada sungai-sungai dan perjalanan udara untuk sampai ke sesuatu tempat. Keadaan geografi sebegini menyebabkan rintangan untuk membangunkan sistem perhubungan darat secara besar-besaran. Seterusnya, kedudukan golongan Bumiputera di kedua-dua wilayah ini juga akan diberi perhatian yang lebih bilamana mereka tidak mendapat layanan yang baik daripada kerajaan British manakala warga-warga asing mendapat layanan yang berbeza. Justeru kelihatan, tahap pendidikan, kedudukan penguasaan ekonomi dan pengisian jawatan kerajaan lebih tinggi di kalangan warga asing yang mana ia menghadkan kemajuan warga Bumiputera.

Menjaga kepentingan dan hak kaum bumiputera

Tunku Abdul Rahman juga pernah menyatakan kepentingan pembentukan Malaysia untuk menggabungkan wilayah-wilayah Borneo seperti Sabah, Sarawak dan Brunei dan bukan hanya terhad kepada Tanah Melayu dan Singapura sahaja. Sekiranya, Tanah Melayu dan Singapura sahaja bercantum, kedudukan penduduk Melayu sebagai warga majoriti akan hilang kerana warga Singapura kebanyakannya ialah penduduk bukan Melayu dan apabila dicantumkan dengan penduduk Persekutuan Tanah Melayu, warga bukan Melayu akan menjadi golongan majoriti menggantikan warga Melayu.